Wednesday 7 December 2016

Ujian Perkahwinan | Berhati-Hati Dalam Melontarkan Kata-Kata

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum 💕

Tajuk hari ini sebenarnya agak sukar untuk saya sendiri telan, apatah lagi untuk hadam. Apa yang saya kongsikan di sini kali ini, sekadar satu luahan dari hati saya sendiri dan sekadar pendapat peribadi saya. Dan pendapat peribadi ini tidak semestinya akan terus kekal seperti ini, barangkali esok atau mungkin hari yang mendatang, ianya akan berubah kerana yang memegang hati manusia itu adalah Allah dan hanya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa yang boleh membolak-balikkan hati manusia. Sebagai hambaNya yang lemah, menjadi kewajipan kita untuk selalu berdoa, semoga Allah selalu menetapkan hati kita di jalan yang benar.

Sebagai manusia yang lemah, jujur saya katakan, ada beberapa hal yang kadang-kadang sangat pahit untuk telan. Terutamanya soal membabitkan zuriat sendiri.
Benar, sudahpun menjengah 4 tahun lebih saya mendirikan rumahtangga namun sehingga hari ini masih belum ada 'berita gembira' bahawa ada nyawa yang sedang bernafas di dalam rahim saya ini. Bohong kalau saya katakan, hati saya tidak terusik saat melihat sahabat-sahabat lain yang sedang hamil, malah yang telah menimang cahaya mata. Ditambah pula dengan usia saya yang semakin meningkat ini, ramai sahabat yang sentiasa 'update' perkembangan anak-anak mereka yang mula memasuki alam persekolahan. Semoga Allah jadikan anak-anak mereka, anak yang hebat dunia akhirat. Namun untuk hal-hal yang saya sebutkan tadi, saya berlapang dada kerana satu, ALLAH MAHA MENGETAHUI APA YANG TERBAIK UNTUK SAYA. Saya bukanlah orang yang baik-baik, malah saya ini pendosa. Namun saya sentiasa cuba dan berusaha untuk terus bersangka-baik dengan Allah kerana saya tidak mahu, hati saya berlumur sifat-sifat yang tidak betul. Saya manusia yang lemah, boleh jadi saya berdusta untuk menutup malu. Nauzubillah.



Hati saya pernah terusik, apabila ada pepatah manusia yang mengaitkan wanita yang tidak hamil ini ibarat kain buruk. MashaaAllah.. Siapa agaknya yang mereka pepatah ini sehingga digunapakai oleh orang lain sehingga hari ini. Dengan pepatah seperti ini, entah berapa hati telah terusik sedih kerana belum dikurniakan zuriat sendiri. Allah tidak pernah kata, wanita yang tidak hamil itu berdosa. Allah tidak pernah mengatakan tidak ada anak itu berdosa. Yang menjadikan kita ini berdosa adalah diri kita sendiri. Dan berhati-hatilah kalian, juga saya sendiri dalam melontarkan kata-kata. Bimbang dan takut, ianya masih dipakai walaupun hayat kita telahpun tiada. Andai ianya baik, Alhamdulillah.. Semoga sebaik-baik ganjaran dari Allah, namun andai sebaliknya.. Nauzubillahi Min Dzalik..

Buat sahabat-sahabat, atau pembaca yang belum dikurniakan zuriat, saya doakan semoga Allah mengurniakan kalian zuriat yang terbaik dan semoga Allah sentiasa memberikan jiwa yang tenang kepada kalian. Saya pernah terbaca satu perkongsian, maaf saya lupa di mana namun apa yang dikongsikannya membuka mata saya tentang doa saya sendiri. 
"Wahai Allah, aku mohon padaMu wahai pemilik khazanah langit dan bumi, kurniakan bagiku dan suamiku zuriat dari rahimku sendiri, zuriat yang hebat dari sisiMu"
Saya memohon pada Allah, agar dikurniakan zuriat yang hebat sedangkan saya sendiri, Allahu Rabbi, saat azan berkumandang, bukan terus bersihkan diri, bersiap untuk menunaikan solat tapi masih lagi terlena dengan hal-hal dunia yang melalaikan. Jadi dari situ, perkara yang paling utama, muhasabah diri. Selalu saya pujuk hati, aku minta pada Allah, zuriat yang hebat tapi aku... Dan tempoh inilah sebenarnya, saya harus lebih mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Soal zuriat, Allah pasti akan berikan bilamana tiba masa yang sesuai menurut Allah..

Doa saya, semoga Allah sentiasa menguatkan hati-hati mereka yang belum dikurniakan zuriat. Semoga diganti Allah dengan sebaik-baik ganjaran atas setiap kesabaran menanti cahaya mata sendiri. Dan semoga apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak memberi manfaat dan mengubat hati mereka yang sedang berduka. Bersangka baik dengan Allah dan letakkan sepenuh pergantungan hanya pada Allah. Kita manusia yang lemah..
Wallahualam..




2 comments:

Rozita Ceritaita said...

akak doakan yang terbaik buat adik dan rakan senasib..
rezeki untuk setiap hambaNya tu hanya Allah yang tau...

HeNRieTTa JoSe said...

baru pertama kali inilah rietta dgr perumpamaan mcm tu....nadia take cre yea...moga nadia dan suami baik baik saja...