Showing posts with label Be Motivated. Show all posts
Showing posts with label Be Motivated. Show all posts

Friday, 16 December 2016

Islam Itu Indah | Kelebihan Istighfar

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum 💕



ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُ ﺍﻟﻠَّــﻪَ ﺍﻟْﻌَﻈِﻴــﻢَ

Dalam surat Nuh ayat 10-12 Allah Ta'ala berfirman :

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا 

“Maka Aku berkata (kepada mereka), Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu fan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula didalamnya) untukmu sungai-sungai”. (S.Nuh [71]: 10-12).

 
Beberapa waktu yang lalu, telahpun saya menerima satu perkongsian dari sahabat-sahabat di group whatsapp. Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya, sahabat-sahabat yang bagi saya sangat hebat ikatan ukhuwahnya. Walaupun group berbisnes tetapi sentiasa dan selalu saling mengingatkan akan kebesaran Allah, tentang besarnya nikmat kasih sayang Allah.. Malah, kalau ada yang diuji Allah dalam pelbagai cara, tidak pernah putus doa juga semangat dari mereka.. Semoga Allah selalu merahmati mereka. Dan apa yang mereka kongsikan ini, ingin sekali saya pahatkan di dalam blog ini, sebagai tatapan, sumber bacaan orang lain juga. Semoga sebaik-baik ganjaran di sisi Allah dan moga mengalir pahala, juga keberkatan Allah sepanjang hayat. Amin Ya Rabbal Alamin..

Wahai Allah, Engkau rahmatilah pemilik gambar ini.


Kisah Imam Ahmad, Si Penjual Roti Dan Istighfar

Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal pergi bermusafir lalu apabila malam menjelma beliau singgah di sebuah masjid dalam satu perkampungan bertujuan merehatkan badannya. Namun penjaga masjid itu tidak mengenali Imam Ahmad. Penjaga masjid itu tidak membenarkan beliau berehat di masjid itu walaupun beberapa kali diminta dan dirayu oleh Imam Ahmad.
Imam Ahmad akur lalu beliau beredar dari masjid tersebut. Sampai di luar masjid Imam Ahmad bertembung dengan seorang penjual roti yg sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Si penjual roti menegur Imam Ahmad dan mereka berbual seketika. Setelah mengetahui kisah Imam Ahmad tidak dibenarkan berehat di masjid, penjual roti itu lantas mengajak dan mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam di rumahnya.

Sampai sahaja di rumah si penjual roti melayan Imam Ahmad selayaknya sebagai seorang tetamu. Dihidangnya makan dan minum dan berbual seketika tanpa dia mengetahui bahawa tetamunya itu seorang imam yg hebat iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Selepas itu si penjual roti menunjukkan tempat tidur utk Imam Ahmad berehat dan dia pun meminta diri kerana perlu menyiapkan rotinya yg akan dijual keesokan hari.
Imam Ahmad memerhatikan sahaja si penjual roti yg berhati mulia itu melaksanakan pekerjaannya dari awal hingga dia siap membakar rotinya. Suatu perkara yang menarik perhatian Imam Ahmad, sepanjang melakukan pekerjaan membuat roti itu si penjual roti tidak putus melafazkan istighfar di bibirnya. Sementara tangan si penjual roti ligat membuat kerja, bibirnya pula dibasahkan dengan istighfar tanpa henti dan tanpa jemu.

Lantas Imam Ahmad bertanya kepada si penjual roti:
"Aku melihat engkau melaksanakan pekerjaanmu sambil melafazkan istighfar tanpa henti. Apakah sudah lama engkau mengamalkan yang sedemikian? Apakah pula hasilnya yg engkau dapat?"
Jawab si penjual roti:
"Itulah amalan ku (istighfar) telah sekian lama aku lakukan tanpa henti dan tanpa jemu."
"Dan faedah yg aku dapati daripada amalan ku itu, tiada satu pun doa yg aku pohon kepada Allah melainkan akan diperkenankan oleh-NYA. Melainkan satu sahaja hajat dan doa ku yg masih belum Allah berikan."
"Apakah hajat mu yg belum diperkenankan Allah itu?" tanya Imam Ahmad lagi.
Jawab si penjual roti:
"Aku sangat berhajat utk bertemu dengan imam yg hebat di zaman ini iaitu Imam Ahmad bin Hanbal."

Terkejut dan terkedu Imam Ahmad mendengar jawapan si penjual roti. Lantas beliau berkata: 
"Rupanya ini semua perancangan Allah yg sgt hebat. Saya tidak dibenarkan berehat di masjid kerana untuk datang ke sini demi memenuhi doa dan permintaan mu."
"Apakah maksud mu wahai tetamu aku muliakan?" tanya si penjual roti dgn penuh kehairanan.
"Akulah Imam Ahmad bin Hanbal yg kau doa dan pohon pada Allah utk bertemu." jawab Imam Ahmad dengan linangan air mata.

Subhanallah...

Rasulullah s.a.w bersabda yg bermaksud:
"Barangsiapa memperbanyak istighfar (mohon ampun kepada Allah), nescaya Allah menjadikan baginya pada setiap kesedihannya jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tiada disangka-sangka.” 
(HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah)



Wednesday, 7 December 2016

Ujian Perkahwinan | Berhati-Hati Dalam Melontarkan Kata-Kata

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum 💕

Tajuk hari ini sebenarnya agak sukar untuk saya sendiri telan, apatah lagi untuk hadam. Apa yang saya kongsikan di sini kali ini, sekadar satu luahan dari hati saya sendiri dan sekadar pendapat peribadi saya. Dan pendapat peribadi ini tidak semestinya akan terus kekal seperti ini, barangkali esok atau mungkin hari yang mendatang, ianya akan berubah kerana yang memegang hati manusia itu adalah Allah dan hanya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa yang boleh membolak-balikkan hati manusia. Sebagai hambaNya yang lemah, menjadi kewajipan kita untuk selalu berdoa, semoga Allah selalu menetapkan hati kita di jalan yang benar.

Sebagai manusia yang lemah, jujur saya katakan, ada beberapa hal yang kadang-kadang sangat pahit untuk telan. Terutamanya soal membabitkan zuriat sendiri.
Benar, sudahpun menjengah 4 tahun lebih saya mendirikan rumahtangga namun sehingga hari ini masih belum ada 'berita gembira' bahawa ada nyawa yang sedang bernafas di dalam rahim saya ini. Bohong kalau saya katakan, hati saya tidak terusik saat melihat sahabat-sahabat lain yang sedang hamil, malah yang telah menimang cahaya mata. Ditambah pula dengan usia saya yang semakin meningkat ini, ramai sahabat yang sentiasa 'update' perkembangan anak-anak mereka yang mula memasuki alam persekolahan. Semoga Allah jadikan anak-anak mereka, anak yang hebat dunia akhirat. Namun untuk hal-hal yang saya sebutkan tadi, saya berlapang dada kerana satu, ALLAH MAHA MENGETAHUI APA YANG TERBAIK UNTUK SAYA. Saya bukanlah orang yang baik-baik, malah saya ini pendosa. Namun saya sentiasa cuba dan berusaha untuk terus bersangka-baik dengan Allah kerana saya tidak mahu, hati saya berlumur sifat-sifat yang tidak betul. Saya manusia yang lemah, boleh jadi saya berdusta untuk menutup malu. Nauzubillah.



Hati saya pernah terusik, apabila ada pepatah manusia yang mengaitkan wanita yang tidak hamil ini ibarat kain buruk. MashaaAllah.. Siapa agaknya yang mereka pepatah ini sehingga digunapakai oleh orang lain sehingga hari ini. Dengan pepatah seperti ini, entah berapa hati telah terusik sedih kerana belum dikurniakan zuriat sendiri. Allah tidak pernah kata, wanita yang tidak hamil itu berdosa. Allah tidak pernah mengatakan tidak ada anak itu berdosa. Yang menjadikan kita ini berdosa adalah diri kita sendiri. Dan berhati-hatilah kalian, juga saya sendiri dalam melontarkan kata-kata. Bimbang dan takut, ianya masih dipakai walaupun hayat kita telahpun tiada. Andai ianya baik, Alhamdulillah.. Semoga sebaik-baik ganjaran dari Allah, namun andai sebaliknya.. Nauzubillahi Min Dzalik..

Buat sahabat-sahabat, atau pembaca yang belum dikurniakan zuriat, saya doakan semoga Allah mengurniakan kalian zuriat yang terbaik dan semoga Allah sentiasa memberikan jiwa yang tenang kepada kalian. Saya pernah terbaca satu perkongsian, maaf saya lupa di mana namun apa yang dikongsikannya membuka mata saya tentang doa saya sendiri. 
"Wahai Allah, aku mohon padaMu wahai pemilik khazanah langit dan bumi, kurniakan bagiku dan suamiku zuriat dari rahimku sendiri, zuriat yang hebat dari sisiMu"
Saya memohon pada Allah, agar dikurniakan zuriat yang hebat sedangkan saya sendiri, Allahu Rabbi, saat azan berkumandang, bukan terus bersihkan diri, bersiap untuk menunaikan solat tapi masih lagi terlena dengan hal-hal dunia yang melalaikan. Jadi dari situ, perkara yang paling utama, muhasabah diri. Selalu saya pujuk hati, aku minta pada Allah, zuriat yang hebat tapi aku... Dan tempoh inilah sebenarnya, saya harus lebih mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Soal zuriat, Allah pasti akan berikan bilamana tiba masa yang sesuai menurut Allah..

Doa saya, semoga Allah sentiasa menguatkan hati-hati mereka yang belum dikurniakan zuriat. Semoga diganti Allah dengan sebaik-baik ganjaran atas setiap kesabaran menanti cahaya mata sendiri. Dan semoga apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak memberi manfaat dan mengubat hati mereka yang sedang berduka. Bersangka baik dengan Allah dan letakkan sepenuh pergantungan hanya pada Allah. Kita manusia yang lemah..
Wallahualam..




Tuesday, 6 December 2016

BR1M 2017 | Permohonan Baru Dan Kemaskini Maklumat Peribadi

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua 


Mengikut apa yang dibentangkan dalam budget 2017 baru-baru ini. BRIM atau Bantuan Rakyat 1 Malaysia dah pun dinaikkan kepada RM1200 bagi mereka yang layak. Dan mereka yang berkelayakan boleh mula mengisi borang permohonan atau mengemaskini maklumat peribadi masing-masing bermula 5 Disember 2016 yakni semalam sehingga 31 Disember 2016. Anda yang berkelayakan bolehlah melayari https://ebr1m.hasil.gov.my untuk mengisi borang permohonan  baru atau mengemaskini maklumat peribadi.
Jadi cepat-cepatlah ya sebelum tarikh permohonan tutup.

Klik pada ruangan PETAK HITAM untuk permohonan baru atau mengemaskini permohonan anda


Syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan bagi permohonan BR1M ni adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4000 sebulan.
- Untuk bujang, gaji mestilah tidak melebihi RM2000 sebulan.
- Mereka yang menerima BB1M yakni Baucar Buku 1 Malaysia TIDAK layak menerima BR1M.


Berikut pula adalah kadar bayaran BR1M yang telah ditetapkan:
- Kategori isirumah bawah RM1000 (e-kasih) : RM1200
- Kategori isirumah bawah RM3000 : RM1200
- Kategori isirumah bermula RM3001 - RM4000 : RM900
- Kategori BR1M untuk individu bujang : RM450


Ini pula jadual pembayaran BR1M bagi sepanjang tahun 2017:

Kategori pendapatan isirumah bawah RM1000 (e-kasih) dan bawah RM3000:
- Ansuran pertama : RM400 pada Januari 2017
- Ansuran kedua : RM400 pada Mei 2017
- Ansuran ketiga : RM400 pada September 2017

Kategori pendapatan isirumah RM3001 hingga RM4000:
- Ansuran pertama : RM300 pada Januari 2017
- Ansuran kedua : RM300 pada Mei 2017
- Ansuran ketiga : RM300 pada September 2017

Kategori bagi individu bujang:
- RM450 pada Januari 2017


Jadi, bagi mereka yang berkelayakan, cepat-cepat isi borang permohonan atau mengemaskini maklumat peribadi sebelum tarikh akhir 31 Disember 2016 ni.. Semoga perkongsian maklumat ini dapat mempermudahkan urusan anda dan memperolehi manfaat bersama.. InshaaAllah..




Thursday, 24 November 2016

Tangani Stress Dengan Betul

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua 💕


Hari ini saya ingin berkongsi kisah stress yang saya alami.. Okay, baru-baru ni saya ke klinik atas sebab pening kepala dan hal pening kepala ni jadi sebab waktu tidur saya yang boleh saya katakan agak terganggu sebenarnya.. Jadi, sampai ke klinik dan lepas check, doktor terus refer to specialist. Katanya setiap kali ke klinik, saya menghadapi masalah yang sama.. Kalau ikut record, kali terakhir saya ke sana dalam 3bulan yang lalu.. Sejujurnya saya agak nervous dan dalam hati ni tak putus berdoa pada Allah, agar dijauhkan dari hal-hal yang buruk..

Alhamdulillah, setelah refer specialist, kata doktor di sana saya cuma stress dan fobia.. Tang fobia tu saya sendiri mati akal fikir punca APA yang menyebabkan saya fobia.. Untuk stress, apa yang boleh saya katakan, ya betul saya memang selalu stress tapi semuanya terletak pada diri saya sendiri... Dan ada ramai sahabat-sahabat saya yang berkongsi tips pada saya untuk menangani stress ni, antaranya adalah seperti di bawah ni...

Belajar untuk REDHA
Yes, ini adalah perkara yang paling kena buat, kena didik hati untuk redha akan apa saja yang berlaku.. Saya mungkin agak stress dengan situasi di tempat kerja dan saya perlu didik hati, muhasabah diri saya agar redha akan pekerjaan saya..Begitu juga hal lain, Allah beri saya seperti ini, kerana Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk saya dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan hambaNya..

Dekatkan diri pada Allah
Ini part paling penting sebenarnya.. Mengadu dan menangislah pada Allah.. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.. Dan selalulah baca Al-Quran dari asyik pegang handphone mengadap facebook, instagram semua tu.. Sebenarnya untuk diri saya, media sosial ni agak mempengaruhi saya..
Seterusnya selalu zikir, kadang bila rasa perasaan ni agak 'ketat', zikirlah...InshaaAllah hati akan jadi kuat, tenang..
Laksanakan hobi
Kalau sebelum kahwin dulu, saya seorang yang sangat gemar berkebun, menulis blog dan memanjakan diri sendiri ketika hujung minggu.. Tapi lepas kahwin, seolah semua tu hilang.. Bukannya suami mengekang kemahuan atau hobi saya tapi diri saya sendiri... Mungkin pengurusan masa saya agak bercelaru, jadi hobi-hobi ni beransur saya lupakan.. 
Alhamdulillah, saya mulakan dengan kembali berkebun di belakang rumah.. Tanam pokok-pokok bunga, pokok lada, ulam-ulaman.. Serius, selain menghilangkan stress, dapat jugak membakar lemak degil yang berkumpul dalam badan saya ni...

Bersenam
Ini antara cadangan dari doktor dan sahabat-sahabat saya... Menurut doktor, ambillah peluang untuk berjogging.. Sehari ambillah 30 minit saja pun dah okay.. Kebetulan rumah saya sangat dekat dengan pantai, jadi saya manfaatkan pagi di hari minggu untuk keluar berjogging sambil menikmati matahari terbit... Alhamdulillah, saya dapat semula waktu sepertimana sebelum saya kahwin dulu..Alhamdulillah suami pun sangat memahami situasi saya..

Melancong
Yang ni antara tips yang sahabat saya kongsikan sebenarnya.. Sejujurnya, saya adalah seorang home type person dan saya sangatlah susah untuk meninggalkan rumah saya kalau tak ada hal yang penting.. Untuk keluar bershopping pun saya masih berkira, inikan pula untuk melancong.. Apapun, untuk anda yang suka melancong, nah ini mungkin membantu mengurangkan stress anda...


Okay, itu antara 5 perkara yang saya rasa dapat membantu saya juga anda untuk menangani stress..InshaaAllah.. Apa yang boleh saya simpulkan sebenarnya dalam hal diri saya ni, paling utama adalah pengurusan masa saya... Dari situ juga, saya kena selalu bermuhasabah diri saya.. Yakin pada Allah, letakkan pada hati sepenuh pergantungan pada Allah, bukan di bibir semata.. Dan selalu minta pada Allah, hati yang kuat dalam menempuh ujian kehidupan... Hidup ini adalah ujian bagi orang-orang yang beriman...
Apapun, saya sangat-sangat berharap apa yang saya kongsikan ini membantu anda, memberi manfaat kepada anda.. Semoga Allah selalu memberi kemudahan dan ketenangan hati kepada anda semua.. Amin Ya Rabbal Alamin..




Wednesday, 19 October 2016

Cari Hikmah Disebalik Kejadian


Bismillahirrohmanirrohim.
Assalamualaikum semua..


Lama benar tidak menaip, agak janggal sebenarnya.. Lebih-lebih lagi saat ingin menyusun baris-baris ayat agar mudah difahami dan agak mereka yang membaca, benar-benar memahami apa yang ingin disampaikan..

Bulan yang lalu, sekitar September 2016, rumah sewa yang saya dan suami duduki sekarang ni dimasuki pencuri.. Waktu tu suami outstation ke Kuala Lumpur dan saya pula di rumah mak.. Pagi tu, seperti biasa saya akan singgah ke rumah dulu untuk ambil barang keperluan dan check apa yang patut sebelum pergi kerja. Dan hati ni rasa sangat bercelaru, orang kata tak tenang.. Buka saja pintu rumah, keadaan ruang tamu seakan tidak terusik tetapi pintu stor sedikit terbuka.. Begitu juga, pintu bilik saya yang tertutup sedangkan sewaktu saya tinggalkan sengaja saya buka seluasnya..
Perkara pertama yang saya lakukan adalah buka pintu utama bagi memudahkan saya keluar sekiranya masih ada orang di dalam rumah dan telefon mak saya yang cuma tinggal selang beberapa rumah..

Bukan syiling Malaysia (^-^)

Setelah habis check, barang yang dicuri adalah duit tabungan suami dalam RM200 lebih, beberapa helai T-shirt dan seluar jeans suami, radio Al-Quran milik saya sendiri dan ada beberapa lagi barang-barang kecil.. Allah Maha Tahu, dalam hal ini perkara pertama yang perlu saya buat adalah bermuhasabah diri.. Barangkali Allah sedang membersihkan harta kami.. Barangkali ada yang tidak berkat dari rezeki kami.. Allah Maha Mengetahui... Paling penting bagi kami saat itu adalah bermuhasabah diri kerana setiap apa yang berlaku itu, tidak akan berlaku tanpa IZIN Allah.. Alhamdulillah kami redha..





Thursday, 7 May 2015

Kisah Blogger | Blogger Perosak Hubungan


Bismillahirrohmanirrohim


Assalamualaikum semua... Okay bercerita soal blogger perosak hubungan, tercuit hati saya ni walaupun saya bukanlah blogger full time. Menulis pun ikut apa yang ada dan kebanyakannya pun hanyalah kisah peribadi yang tak laku.. Gitu... Sebenarnya saya screenshot gambar ni dari facebook abang Ben Ashaari. Serius, rasa macam serius kot hal ni. Entahlah, saya pun tak pasti tapi kesian pada sahabat-sahabat blogger lain yang memang full time blogger. Hanya satu titik nila, rosaklah susu sebelanga.




Sebenarnya dah lama sangat saya perhatikan. Sekarang boleh katakan ramai orang punya facebook masing-masing. Kemudian, minat untuk share apa-apa saja artikel tu pun sangat berleluasa. Kalau share yang bagus tu, Alhamdulillah.. Tapi tak kurang juga yang share post dari blogger yang siarkan artikel yang tidaklah diketahui kesahihannya.. Betul kan.. Ada pulak yang mensensasikan tajuk artikel, then bila user klik, keluarlah pop up iklan bagai. Kesian.. Begini rupanya taktik untuk dapatkan trafik dan klik yang banyak... Apapun, saya tak pandai ulas lanjut, tak pandai berbicara lebih-lebih.. Moga Allah jauhkan saya dari menulis sesuatu yang tidak sahih, yang tidak betul.. Moga Allah lindungi saya dan keluarga dari segala fitnah... Nauzubillahi Min Dzalik..


Firman Allah bermaksud: 
"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." 
(Surah al-Hujurat, ayat 6)




Friday, 30 January 2015

Islam Itu Indah | Allah Maha Mendengar


Bismillahirrohmanirrohim.
Assalamualaikum..






Alhamdulillah syukur.. Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui setiap rintihanku. Alhamdulillah atas setiap ujian yang diberikanNya, mengajar aku menjadi seorang insan yang lebih kuat. InshaaAllah. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah..


Alhamdulillah syukur atas nikmat-nikmat yang Allah berikan setiap hari untukku..

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ  
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?





Wednesday, 5 November 2014

Kisah Blogger | Selidik Sebelum Tulis


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua..


sumber carian: google.com

Maaf, tidak ada bicara yang panjang untuk tulisan kali ini.. Sekadar meluah rasa hati, rasa tidak puas dengan sesetengah penulis blog / laman sesawang.. Tolong, saya merayu.. Janganlah sesekali anda menulis sesuatu tanpa anda selidiki terlebih dahulu.. Bukankah itu namanya fitnah.. Malah banyak hati akan terluka dek kerana tulisan itu, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan kehilangan, musibah.. Tolonglah fikirkan hati-hati keluarga, insan terdekat mereka..Tolong, jangan hanya fikir untuk mengaut trafik yang tinggi dek kerana hebatnya tulisan anda itu.. Tolonglah, saya merayu................



Monday, 20 October 2014

Dua Tahun Suka Duka Sebuah Perkahwinan


Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua..


Semalam 19 Oktober 2014, Alhamdulillah genap dua tahun usia perkahwinan saya dan suami. Alhamdulillah.. Sebut saja dua tahun, MashaaAllah pantas betul masa tu berlalu. Macam tak percaya. Banyak benar suka duka tawa sendu tangis riang sepanjang melayari bahtera perkahwinan ini. Alhamdulillah syukur.



Sepanjang dua tahun ini, bohong kalau semuanya perfect, bohong kalau katakan semua indah dimata. Namun semua itu pelajaran, nasihat dan pengalaman buat kami suami isteri untuk lebih mengenali hati budi, sikap, kelemahan, kekurangan dan kelebihan masing-masing. Alhamdulillah syukur pada Allah. 

"Wahai Allah, jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman 
dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku."
 HR Muslim

Bercerita soal dua tahun perkahwinan ini juga, Alhamdulillah kami suami isteri lebih berlapang dada soal zuriat. Kami redha. Allah sedang menguji kami dan kami yakin, Allah sedang mempersiapkan kami sesuatu yang lebih baek, lebih indah. InshaaAllah. Alhamdulillah saya bersyukur, Allah kurniakan saya keluarga yang sangat memahami, begitu juga keluarga mertua yang tidak jemu memberi semangat. Alhamdulillah. Nikmat Allah mana lagi yang saya ingin dustakan. Allahu Rabbi, merenung sejenak, malu untuk terus meminta padaNya kerana terlalu banyak yang telah diberi olehNya.. Malu kerana saya, hambaNya yang selalu lupa untuk bersyukur, selalu lupa untuk berterima kaseh padaNya.

Apapun, untuk ulangtahun kedua ini, moga Allah kurniakan kami suami isteri dengan iman yang lebih teguh. Moga Allah himpunkan kami kelak, di akhirat sebagai suami isteri, berada di kalangan hambaNya yang khusyuk dan istiqomah. Moga Allah jadikan kami di hari mendatang sebagai hambaNya yang lebih baek dari segi iman dan akhlaknya. Amin... Buat sahabat yang membaca, doakan kebahagiaan kami dunia hingga akhirat..




Friday, 19 September 2014

Rindu Yang Tidak Pernah Pergi




Moga Allah mengurniakan insan-insan terbaek di sisimu, agar kisah hidupmu sentiasa harum seperti mawar di taman. Agar engkau tidak sunyi, bersendirian menongkah arus hidup yang sangat sukar ini. Agar ada tangan yang memimpin, yang memelukmu saat kesedihan datang menerpa hidupmu.

Biarpun aku telah lama berlalu dari lembaran hidupmu, namun memori itu tidak pernah luntur. Aku tidak mencoret namamu di atas pepasir kerna telah kupahat pada batu-batuan di tepian pantai itu. Agar ombak yang membadai, tidakkan mudah menyapu dari ingatanku.

Saban waktu, padaNya aku pinta moga memberi yang terbaek untukmu. Moga di hayat yang mendatang, aku bisa memimpin tanganmu untuk kekal menjadi sahabatmu.




Thursday, 18 September 2014

Hari Ini Dia Jelek Tapi Esok Siapa Tahu



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua..




Alhamdulillah setelah melalui beberapa episod yang sulit, Allah beri kemudahan serta jalan. 

 فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ  
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?



Lewat hari ini, banyak benar tohmahan serta fitnah yang timbul terutamanya di media sosial. Banyak benar yang telah disalahgunakan. Dari niat awal untuk mencari teman-teman lama, berkongsi kegembiraan serta merapatkan silaturrahim namun akhirnya yang jadi adalah sebaliknya. Ada pula yang menggelar diri mereka 'stalker'. Ya tidak salah untuk menjadi 'stalker' namun yang salah adalah kata-kata yang anda berikan kepada orang yang anda kerap mengintai kehidupan mereka. Baek atau sebaliknya. Ikhlas atau sebaliknya. Benar atau sebaliknya.



Tidak cukup dengan itu, anda berikan kata-kata kehinaan kepada mereka seolah-olah andalah manusia paling sempurna. Andalah manusia yang paling bagus akhlaknya. Sehingga hal itu mengaibkan mereka.



"Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak, dia sebenarnya sedang menghinamu" 
(Imam As-Syafie)

Lupakah anda tentang kehebatan Allah, keagungan Allah. Lupakah anda bahawa bilamana Allah berkehendakkan sesuatu itu menjadi lebih baek, maka jadilah ia. Begitulah juga sebaliknya. Hari ini orang yang anda lihat sebagai jelek itu, barangkali esok lebih baek, malah akhlaknya mungkin jauh lebih indah dari anda. Ingat itu saudaraku sekalian. Hari ini kamu kutuk dia tidak bertudung, berpakaian seksi, tapi ingat saudaraku, esok kita tidak pernah tahu apa yang bakalan terjadi. Kerana itu semua rahsia Allah.




Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah! Maka jadilah ia." 
(Al Baqarah:117)

Jadi, untuk hari ini, waktu yang ada ini, perbetulkan kembali niat anda, renung kembali apa yang sepatutnya kita perkatakan. Sematkan dalam hati, "Moga Allah jadikan dia, seorang hamba yang lebih baek pada hari esok", bilamana yang anda lihat itu jelek di mata. Saya percaya, bila kita HANYA melihat keindahan, kebaikan, maka kebahagiaan itu akan selalu memancar, mengelilingi kita.. InshaaAllah... Apapun, segala apa yang saya catitkan di sini, adalah untuk peringatan kita bersama. Untuk diri saya juga, hamba Allah yang lemah, yang kerdil, yang selalu saja tercacat dek kesilapan. Moga Allah berikan keredhaanNya kepada kita.. Amin Ya Rabbal Alamin..




Wednesday, 10 September 2014

Setiap Kepayahan Pasti Terselit Kebahagiaan



Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua..



gambar dicari dalam google.com


Alhamdulillah.
Benar, bilamana mendung itu berarak, matahari pasti akan menyinar kembali. 

Alhamdulillah.
Benar, bilamana Allah menimpakan sesuatu kepada kita atau barangkali mengambil kembali apa yang dipinjamkan itu. 
Sebenarnya Dia sedang mempersiapkan sesuatu hal yang lebih baek untuk kita. Alhamdulillah.


فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ 
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Alhamdulillah. Aku bersyukur wahai Allah.






Wednesday, 3 September 2014

Segalanya Milik Dia

Bismillahirrohmanirrohim.
Assalamualaikum semua..



My house have been robbed last two nights. They took our tv, laptop and my external hard drive which is very important to me. I lost all of my work on it. It so sad but one thing that I always keep with me, Allah ‘the one with all the kindness’ is always there. He knows everything and I believe that He just prepared something good for me and husband. InshaaAllah. Trust Him and you will never disappointed.




 Benar, segalanya milik Allah. فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِMaka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? Apa yang berlaku ini ada hikmahnya untuk kami. InshaaAllah akan Dia gantikan sesuatu yang lebih baek untuk kami suami isteri. Ini juga peringatan untuk kami suami isteri, supaya kami lebih selalu bermuhasabah diri dan berbahagi rezeki yang diberikan olehNya.. InshaaAllah... Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang mengambil itu.. Amin...



Saturday, 23 August 2014

Tragedi MH17 | Jangan Salahgunakan Hashtag

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum.


Berbincang soal salah hashtag nih sebenarnya menyakitkan hati. Terkilan. Tak ada sensitiviti langsung. Semua orang sedia maklum bahawa semalam (22 Aug 2014) merupakan hari berkabung di mana 20 jenazah mangsa MH17 di bawa pulang ke Malaysia untuk disemadikan. Justeru itu, berpusu-pusu orang memuat naik gambar-gambar mereka berkabung di media sosial, terutamanya Instagram.


Pada awal pagi lagi, saya perasan banyak betul mereka yang 'selfie' menggunakan hashtag #MH17 pada gambar mereka. MashaaAllah tak apa, saya cuba bersangka baek.. Namun yang paling saya terkejut, ada yang mempromosikan produk mereka menggunakan hashtag #MH17. Allahu Rabbi..
Persoalan saya sekarang, mana sensitiviti anda. Tidakkah anda tahu bahawa mereka punya keluarga yang perlu dijaga hati mereka. Tidakkah anda lihat wajah-wajah di bawah ini? MashaaAllah benar meruntun hati saya, malah bohong kalau saya kata, air mata ini tidak mengalir. Belum cukupkah untuk anda merasa simpati? Belum terkesankah anda dengan setiap berita-berita yang dipaparkan di television dan corong-corong radio? Tolong, hormatilah perasaan ahli keluarga mereka. Kita yang melihat ini pun sudah mengalir air mata, menahan sebak. Inikan pula mereka, ahli keluarga mangsa. Tolong.. buang sikap penting diri itu.. Saya merayu.



Dalam saya asyik melihat update mengenai Malaysia berkabung di hashtag #MHl7, hati saya digeletek dengan comment seseorang pada gambar seorang gadis ber'selfie'. Gadis itu memakai serba hitam, iya gambar 'selfie' menunjukkan dia juga sedang berkabung. Apa yang membuatkan saya tersenyum lucu apabila seorang hamba Allah telah meninggalkan comment "Ini gambar salah seorang mangsa ke", lalu dijawab kembali oleh gadis tersebut "bukan". Terus terang, saya sangat setuju dengan hamba Allah tersebut. Apapun, saya tidaklah berani untuk mempersoalkan terlalu dalam tentang salah hashtag nih kerana setiap antara mereka ada sebab tersendiri.. Apapun sebabnya, hanya mereka yang tahu.

Sebelum saya akhiri catatan ini, mari sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk semua mangsa yang beragama Islam.. Semoga Allah memberi kemudahan kepada pihak-pihak yang mengendalikan kes ini. Semoga diberi balasan setimpal kepada mereka yang telah 'membunuh' itu. Allah Maha Tahu dan pasti ada hal yang terbaek telah disediakan dari sisiNya.. Wallahualam.. Assalamualaikum...


nota: terima kaseh kepada mereka yang telah berkongsi gambar-gambar berikut di Instagram.





Friday, 22 August 2014

MH17 | Malaysia Berkabung 22 Ogos 2014

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum..





Sempena Jumaat yang mulia ini, dan menunggu ketibaan jenazah-jenazah mangsa pesawat MH17, mari kita sedekahkan Al-Fatihah untuk mangsa yang beragama Islam. Jangan lupa juga perkara-perkara sunnah dilakukan pada hari Jumaat. Antaranya membaca surah Al-Kahfi.






Wednesday, 20 August 2014

Qada' dan Qadar | Yakin Pada Allah

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum semua..


Everything happens for a reason, even though the reason may be imperceptible to us, yet Allah alone knows the wisdom behind it.


Ujian yang menimpa diri, benar kekadang berat untuk diterima. Dan sukar benar untuk memujuk hati untuk tabah dan sabar akan dugaan yang menimpa. Namun bilamana hati, fikiran tidak pernah putus mengingati Allah dan benar-benar hati ini meletakkan pergantungan hanya padaNya. Dari situ , rasa tenang mula mengharum dalam diri.. Alhamdulillah..

Beberapa waktu lalu, saya mendapat perkhabaran bahawa rumah sewa yang telahpun saya dan suami letakkan deposit telah diberikan kepada orang lain dengan alasan-alasan yang saya kira tidak boleh diterima akal. Lihat saja air muka suami ketika itu, hanya Allah yang tahu. Betapa kecewanya dia. Saya kenal benar akan suami, bukan mudah untuk dia menunjukkan air muka seperti itu.. Lalu kami pujuk hati ini kerana yakin Allah telahpun sediakan sesuatu yang terbaek buat kami selepas ini. Barangkali pasti ada sesuatu yang kurang menyenangkan lalu Allah jauhkan kami terlebih dahulu dari perkara tersebut. Iya, kami redha.

ربي يسر ولا تعسر ,ربي تمم بالخير
Semoga Allah mempermudahkan urusan kami dan memberikan yang terbaek dari sisiNya buat kami..
Amin Ya Rabbal Alamin.





Saturday, 11 January 2014

Sujud Syukur | Jadilah Hamba Yang Sentiasa Bersyukur

Bismillahirrohmanirrohim


Assalamualaikum WBT...
Sahabat semua, ayuh kita tanya pada diri kita, berapa kalikah kita menghamparkan sujud kepada Allah?
Adakah kita hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan sebenar-benarnya? Astaghfirullah Al Adzim, betapa saya sendiri selalu lalai dengan segala nikmat yang Allah berikan.. Jom sahabat sekalian, kita jadikan sujud syukur itu, satu kebiasaan pada diri kita.. Segala yang ada dan yang berlaku pada diri kita itu, adalah nikmat yang Allah berikan..





يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ


“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar kamu mentauhidkan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)




Berikut merupakan hadis dan tertib dalam mengerjakan sujud syukur.. Semoga apa yang saya kongsikan ini memberi manfaat, dan sebagai rujukan buat diri saya sendiri, begitu juga buat sesiapa yang menginginkan..Inshaa Allah...


“Dari Abu Bakrah r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. apabila telah datang kepadanya suatu urusan yang menyenangkan atau beliau gembira kerana sesuatu, beliau sujud ke tanah sebagai berterima kasih kepada Allah SWT.”( HR: Abu Daud dan Tirmizi)



Rukun sujud syukur adalah seperti berikut:

1. Niat 

2. Takbiratul Ihram 
3. Sujud (sekali sahaja)
4. Salam


Dan syaratnya sama seperti hendak sembahyang fardhu, iaitu dalam wudhu, mengadap kiblat, menutup aurat dan sebagainya. Ini maknanya, anda boleh mulakan sujud syukur, dalam duduk (macam duduk antara dua sujud).

Takbiratul ihram dan niat, terus sujud. Selepas bangun dari sujud, beri salam. Begitu mudah sebenarnya untuk melaksanakan, tinggal usaha sahaja.. Sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud syukur ini.

Dari itu, diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam. Berikut adalah ayat yang digalakkan dibaca sewaktu sujud :


"Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."



Doa saya buat diri saya sendiri, juga buat semua sahabat, moga dipermudahkan segala urusan dan kesulitan.

Inshaa Allah moga ada kelapangan lagi buat diri saya untuk mencoret pada hari yang mendatang.. Assalamualaikum WBT....








Friday, 13 December 2013

Bilamana Allah Menguji HambaNya

Bismillahirrohmanirrohim..


Assalamualaikum WBT... Semoga sahabat-sahabat semua sentiasa sehat.. Doa saya semoga sahabat semua, sentiasa di dalam rahmat Allah SWT... Amin...

Allahu Rabbi, sebut saja tentang ujian dari Allah.. Gundah hati ini.. Tapi bila pujuk hati dan yakinkan jiwa bahawa Allah tidak akan pernah mensia-siakan hambaNya, hati terus rasa tenang.. Bilamana kita redha dengan Allah, maka Allah akan redha dengan kita..Inshaa Allah.. Bercerita tentang ujian ini sebenarnya, baru-baru ini keluarga saya diuji dengan bencana banjir yang menimpa.. Rasanya ramai juga yang diuji sebenarnya.. Banyak tempat-tempat di Kuantan yang dilanda banjir dan banyak jugak rumah yang hampir tenggelam dek banjir.. Malah di kawasan tempat saya juga, ada beberapa rumah yang hanya menampakkan bumbung ketika kejadian..

Pada 3 Disember, hari Selasa ketika di pejabat.. Air mula masuk ke kawasan bengkel dan pejabat.. Alhamdulillah dalam pejabat, sempat jugak buat benteng supaya air tak masuk terlalu banyak.. Cuma di kawasan bengkel saja yang rata-rata dipenuhi air.. Jadi, kami semua pulang memandangkan nak sambung kerja pun dah tak boleh.. Di rumah, lebih kurang jam 6.30 petang eletrik di kawasan rumah sewa saya dan suami di Beserah, di'mati'kan berikutan banyak sangat rumah yang dah mula ditenggelami air.. Kemudian, saya dan suami mula gerak ke rumah mak di Balok kerana menurut adik, rumah dimasuki air.. Saat itu, talian telefon pun dan terputus-putus.. Keluar saja dari kawasan rumah, Masha Allah.. Jalan jem disebabkan air dari sungai melimpah ke atas jambatan dan suku bahagian jambatan mula terhakis berdekatan jalan menuju ke pasar ikan Beserah.. Mujurlah orang kampung sangat ringan tulang membantu melancarkan lalu lintas.. Mereka begitu peka dalam memerhati air sungai yang semakin naik dan laju melintasi jalan..

Melalui jalan utama ke rumah mak, air laut pasang bergelora dan kawasan-kawasan perumahan gelap.. Seriously gelap dan suram.. Ibu-ibu saudara yang tinggal berjiran dengan mak terpaksa menumpang di rumah anak-anak dan ada yang berada di pusat pemindahan banjir.. Keluarga saya masih di rumah, cuma datuk saja yang terpaksa kami pindahkan ke pusat pemindahan banjir kerana bimbang air naik dan menyukarkannya.. Keadaan datuk memerlukan ruang yang selesa dan penjagaan yang rapi..


Gambar di bawah keadaan banjir sebelum air semakin naek pada sebelah malam...




Rumah saya ada 5 peringkat tinggi..Air mula naik di kawasan parkir.. Kemudian memasuki dapur.. Bila hujan semakin lebat, mula masuk ke kawasan ruang tamu.. Waktu saya sampai, air di kawasan ruang tamu.. Dan jam 9.30 malam, air memasuki kawasan ruang rehat dan mengaji..Peringkat yang tinggal hanyalah bilik mak dan ayah, bilik pakaian dan bilik adik lelaki.. Dan keesokkannya, air paip tiada.. Benar-benar dugaan buat kami.. Elektrik tiada, air paip tiada dan talian pula asyik terputus... Ini peringatan dari Allah sebenarnya..

Walau bagaimanapun, yang indah apabila ianya menggamit kenangan ketika kecil dulu, bilamana pakai pelita minyak, mandi air perigi dan ahli keluarga berkumpul beramai-ramai.. Bergurau senda, melegakan kesejukan... Dan paling mencuit hati apabila adik lelaki buatkan satu obor diletakkan ditepi perigi untuk memudahkan kaum-kaum adam mandi.. Serius, masa tuh rasa rindu sangat kenangan masa kecil dulu... Rindu arwah nenek yang selalu bising-bising menasihati kami adik beradik, sepupu sepapat.. Allahu Rabbi..


Apapun, kata emak belajar untuk redha akan segalanya.. Dan saat itu saya panjatkan rasa syukur.. Apa yang keluarga alami itu, sikit berbanding mereka yang rumahnya terus tenggelam dek banjir besar ini.. Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji'un.. Justeru itu, rasanya bagi kita yang mampu ini, hulurkanlah sedikit bantuan buat mereka.. Kita yang memandang ini pun dah rasakan betapa berat, inikah pula mereka yang mengalaminya sendiri...

Apa yang saya belajar dari musibah yang berlaku ini, tidak kira kita ini rumah besar, rumah kecil, berharta atau tidak tapi di saat Allah menurunkan ujian bencana seperti ini, mana pangkat kita, mana kemegahan kita selama ini.. Justeru itu, bagi saya sendiri, saya semaikan dalam hati supaya menjauhi perasaan riak atau angkuh kerana segala khazanah yang ada di langit dan bumi itu adalah milik Allah, begitu juga dengan diri kita ini.. Kita ini milik Allah.. Maka bersyukur dan ambil pengajaran pada apa yang berlaku.. Saya ulang sekali lagi satu ayat yang saya sering ingatkan pada diri, redhalah dengan Allah, nescaya itu Allah akan redha dengan kita.. Allah tidak pernah mensia-siakan hambaNya...Inshaa Allah... Rasanya ini sajalah perkongsian saya kali ini..Inshaa Allah, punya cerita bermanfaat, akan saya kongsikan bersama anda, sahabat yang dirahmati Allah... Semoga Allah meletakkan insan-insan yang terbaek di sisi hidup saya, begitu juga anda sekalian...
Assalamualaikum WBT....




Wednesday, 27 November 2013

Kembalilah Kepada Sang Pencipta Dengan Tenang

Bismillahirrohmanirrohim.


Assalamualaikum WBT... Hai semua... Sehat? Andai sehat, Alhamdulillah.. Banyakkan bersyukur pada Allah.. Sehat itu nikmat buat kita, hadiah dari Allah.. Andai sebaleknya, banyakkan bersabar dan selalu ingatkan diri, bisikkan dalam hati bahawa kesakitan itu penghapus dosa.. Dan Allah sedang melatih diri kita untuk menjadi orang yang sabar.. Allahuakbar.. Besar sungguh kasih sayang Allah pada kita.. Sedang kita? Agaknya berapa kali saja sehari memuji nama Allah Yang Maha Agung.. Mari kita sama-sama bermuhasabah...


Alhamdulillah hari ini hari ketiga selepas pengebumian sepupu saya, yang telah kembali kepada Allah pada petang Ahad.. Pengebumian dilakukan pada pagi Isnin dan selesai sebelum solat Zuhur.. Alhamdulillah Allah permudahkan banyak urusan buat kami, semua ahli keluarga.. Mohon sahabat yang membaca post saya ini, untuk sama-sama sedekahkan Al-fatihah untuk Allahyarham Ahmad Azri..

Al-Fatihah


Okay, untuk pengetahuan anda, saudara saya ini terlibat dengan kemalangan jalanraya di mana beliau bermotosikal dan ketika itu, dalam perjalanan ke tempat kerja.. Petang Ahad yang tenang itu, saat istirehat, kami seluruh ahli keluarga dikejutkan dengan berita ini.. Kaget dan bermacam perasaan yang menyelubungi kami ketika itu. Dan ternyata berita yang kami terima sangat menyayat hati.. Allah lebih menyayanginya.. Selama 19 tahun Dia pinjamkannya kepada kami dan ini saatnya Dia mengambil kembali...

Alhamdulillah jenazah sampai ke rumah dalam jam 2.30 pagi setelah selesai urusan di hospital dan pejabat polis, dan bermulalah apabila seluruh ahli keluarga bergilir menjaga.. Tenang hati, alunan ayat-ayat suci Allah tidak henti berkumandang di dalam rumah.. Alhamdulillah segalanya selesai dalam keadaan yang segera dan dipermudahkan oleh Allah.. Allah juga beri ketenangan buat keluarga MakLong saya.. Buat saya cukup kagum, mereka begitu kuat menghadapi ujian dari Allah ini...

Oh ya, sebelum saya terlupa.. Ingin sekali saya selitkan sedikit nasihat atau pesanan untuk sesiapa saja, bahkan mungkin untuk diri saya sendiri.. Kadang-kadang lebih baek untuk kita berdiam sahaja dari berkata-kata kerana terkadang, kata-kata itu mungkin saja akan berkembang menjadi satu kepalsuan.. Mereka yang tidak tahu kebenaran tentang kejadian sebenar, boleh saja menabur kata-kata palsu.. Kerana anda tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Apa yang berlaku saat itu.. Hanya mereka yang ada disekitar itu sahaja yang tahu.. Usah dibuat pelbagai andaian.. Kasihanilah kami, antara keluarga yang mendengar dan membaca.. Sebaiknya anda sedekahkan Al-Fatihah..


Tenanglah saudaraku.. Moga dipertemukan kembali di akhirat sana.. Amin...



 sumber gambar: google.com


Anas bin Malik menuturkan bahwa Rasulullah saw bersabda;
 ‘Ada 7 hal yang pahalanya terus mengalir kepada seorang hamba setelah kematiannya dan ia berada di kuburnya, yaitu: orang yang mengajarkan ilmu, mengalirkan sungai, menggali/membuat sumur, menanam pohon kurma, membangun masjid, mewariskan mushaf al-Quran, dan meninggalkan anak yang memohonkan ampunan baginya setelah kematiannya’ 
(Riwayat al-Bazzar dan Abu Nu’aim)







Saturday, 9 November 2013

Islam Itu Indah | Berdoalah Pada Allah Dengan Penuh Pengharapan

Bismillahirrohmanirrohim


Assalamualaikum WBT... Salam sayang untuk mereka yang sudi membaca blog saya ini.. Untuk tulisan kali ini, saya sekadar ingin mencatit nasihat untuk diri saya sendiri.. Untuk rujukan diri saya kemudian hari, mungkin juga panduan untuk anda yang ingin mengetahui. Inshaa Allah.


Menjadi kelaziman bagi kita untuk selalu berdoa pada Allah, memohon dan meminta padaNya Yang Maha Memberi dan Maha Penyayang.. Paling-paling kurang, selepas solat kita berdoa padaNya. Dan buat mereka yang selalu ingin segera sehingga sukar sekali untuk menadah doa pada Allah, renungkanlah hadis ini...


Barangsiapa tidak (pernah) berdo'a kepada Allah maka Allah murka kepadanya.  
(HR. Ahmad)


Oleh itu, sebagai seorang Islam, berdoalah selalu kepada Allah dan bersyukurlah.. Hati manusia adalah kandungan rahsia dan sebagian lebih mampu merahsiakan dari yang lain. Bila kamu mohon sesuatu kepada Allah 'Azza Wajalla maka mohonlah dengan penuh keyakinan bahwa doamu akan terkabul. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang hatinya lalai dan lengah. (HR. Ahmad)


Ada beberapa waktu berdoa yang mustajab menurut Hadis dan Al-Quran. Antaranya ialah ketika berpuasa, ketika sebelum berbuka, ketika hujan lebat, selepas berzikir dan sebagainya. Adapun begitu, tiga macam doa dikabulkan tanpa diragukan lagi, yaitu doa orang yang dizalimi, doa kedua orang tua, dan doa seorang musafir (yang berpergian untuk maksud dan tujuan baik). (HR. Ahmad dan Abu Dawud)

Allah SWT telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu-waktu tersebut merupakan, iaitu pada malam Lailatul Qadar, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (berdoa di dalam hati, tanpa mengeluarkan suara).  Rasulullah SAW pernah ditanya, doa yang manakah yang paling didengar (diterima) oleh Allah? Jawab baginda, doa pada akhir malam dan setelah solat fardhu. (HR. At-Tarmizi)

Doa pada sepertiga akhir malam adalah sangat makbul dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” (HR. Bukhari)


Akhir kata dari saya, semoga saya mampu memanfaatkan catitan ini dan semoga diri saya ini tidak lalai dari terus berdoa kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan.. Sebelum saya akhiri, marilah sahabat, kita hayati hadis di bawah ini...

Barangsiapa ingin agar doanya terkabul dan kesulitan-kesulitannya di atasi, hendaklah dia menolong orang yang dalam kesempitan. 
 (HR. Ahmad)

Sekian, Assalamualaikum WBT..