Monday, 16 February 2009

RUMUSAN CINTAKU

Tergerak jariku mengetuk huruf-huruf di laptop ini dalam merumus soal cinta. Ini semua pasti terjadi pada setiap manusia di muka bumi Allah Yang Maha Kaya ini. Dengan cinta ini lah kita berterusan mampu meneruskan hidup dengan kasih sayang anugerah terindah dari Allah SWT. Cinta Kepada Allah, Cinta sesama manusia bahkan juga cinta terhadap makhluk yang lainnya.
Bukan bermaksud untuk merendahkan sesiapa, cuma sekadar melontarkan sedikit pendapat atau mungkin sedikit nasihat, jika ia masih dianggap nasihat buat anda. Kita di bumi Allah ini tidak ada bezanya. Di sisi Allah, kita ini sama sahaja, hambaNya yang kerdil dan amat dikasihi Allah. Cuma kita sendiri yang membeza-bezakan diri kita berikutan taraf-taraf yang telah ditetapkan oleh undang-undang manusia.
Kupetik dari kisah seorang sahabat yang amat kusayangi, yang selalu dihatiku biarpun jauh dimata. Ekoran kisah-kisah cinta silam yang menyakitkan menyebabkan keraguan yang tak terhenti terhadap manusia yang bernama lelaki. Baginya, lelaki itu mulut manis, kalau berbicara lebih petah dari ahli pidato terkenal. Kalau bersyair cinta, ibaratnya lebih terkenal dari Rabiatul Adawiyah r.a. yang mengabadikan cintanya yang agung kepada Allah SWT. Ibarat begitulah untuk digambarkan rasa luka dihati sahabatku yang tercinta ini. Tapi itu bukan salahnya kerana setiap manusia itu bebas meluahkan isi hatinya. Kalau pun karena luahan itu membuatkan ada hati-hati yang terluka. Fikirkan lah sejenak.

Kini, seseorang berjaya mencari kunci dihatinya. Alhamdulillah masih ada sedikit ruang kepercayaan untuk lelaki dihatinya. Hari-hari yang dilaluinya bagiku indah. Setiap hal tersusun mengikut ketentuan dan ketetapan Allah. Dari cuma sekadar teman tapi mesra hinggalah teman mesra. Lalu aku dikhabarkan tentang rencananya untuk mendirikan masjid Allah. Alhamdulillah, itu satu kegembiraan dihatiku. Maunya tidak, aku kenal dia, begitu juga dengan kisah-kisahnya. Telah kulewati banyak detik yang sukar bersamanya. Dan kini terhela nafas lega…. Alhamdulillah..

Satu waktu, dia pernah membisikkan keraguannya dihatiku, bahkan takut hal yang lalu kembali lagi. Aku buntu, terlalu sulit diluahkan. Benar kata seseorang yang pernah kudengar, kalau mau tanya tentang perihal seorang manusia itu, maka tanyalah orang yang membencinya. Kerana kalau ditanya pada sahabatnya, pasti hal yang baik saja kedengaran. Mana mungkin seorang sahabat akan melukakan hati sahabatnya. Aku bersahabat, membawa cintaku untuk sahabatku, membawa gembiraku untuk sahabatku. Lalu apa aku sanggup membenarkan duka menyelimuti hatinya dengan kata-kata kurang baik dariku. Meskipun niatku hanyalah maukan yang terbaik untuknya. Apa dia mengerti itu niat sebetulku. Cinta itu boleh membutakan manusia. Sedangkan kita sebenarnya yang harus membutakan cinta itu.

Aku terus buntu. Aku tidak mau melukakan hati sahabatku. Apa yang aku mau dia terus kuat, jangan terus bersandar pada cinta manusia semata. Aku mempunyai prinsip sendiri. Biarpun terkadang aku sering tersasar dari landasanku sendiri. Aku juga pernah malah sering tertoleh kisah silamku, yang pahit, yang menghantui setiap mimpi-mimpiku, seolah tidak membenarkan aku bahagia. Lalu aku sembahkan sepenuh cintaku pada Yang Maha Penyayang. Di situ aku temui kemanisan cinta itu, yang sering membuat aku tersenyum. Sering memberi aku harapan. Semoga esok dibuka jalan bagiku dan diberi cahaya untukku. Amin.

Dalam menjalani waktu-waktu kehidupan, kita akan melalui banyak sekali kisah. Mungkin keindahan dan mungkin juga kepahitan. Setiap waktu kita akan bertemu dengan sesuatu yang baru, yang mengajar kita tentang pembaharuan. Samada baik atau buruk, terserah pemikiran dan tingkah laku kita. Begitu juga dengan manusia, setiap manusia yang ditentukan Allah, yang bertemu dengan kita membawa cerita mereka sendiri dalam hidup kita. Seorang sahabat A, akan membawa cerita lain kepada kita. Mungkin juga kisah kepahitan hidupnya. Lalu di situ, kita akan belajar sesuatu tentangnya. Mengambil sesuatu ikhtibar darinya, membantu mengurangi kepahitannya. Lalu disitu, kita telah mencatat kisah di dalam hidupnya. Samada membawa kisah yang indah atau duka, terserah bagaimana kita mencorakkan kisah itu. Begitu juga hal yang lainnya.
Setiap silaturrahim atau kasih sayang yang terjalin antara manusia itu, punya ceritera tersendiri yang kekadang sukar difahami. Begitu juga dengan percintaan sesama manusia. Kalau hubungan yang lalu gagal, pasti ada silapnya. Mungkin juga egois kita. Terkadang kita tidak pernah menghitung kelemahan kita kerana kita terlalu sibuk menghitung kelemahan pihak lain. Dari hal itu, segala kebaikan seolah tertutup dek kelemahan itu. Wajarkah itu?

Justeru itu, cuba kita renung kisah kita yang lalu. Kalau benar kegagalan itu dari pihak kita. Maka untuk kisah yang mendatang, kita harus belajar memperbaiki. Dan kalau kegagalan itu bukan dari pihak kita, maka ambillah sedikit ikhtibar dari kegagalan itu. Sebagai hamba Allah yang lemah, kita harus selalu belajar, kerana pelajaran tentang kehidupan itu membuat kita terus bangkit, menghargai dan meredhai. Setiap manusia itu lahir dengan rencana yang berbeza mengikut ketentuan Allah. Ada yang dipermudahkan Allah jalannya untuk memdapat sesuatu. Dan ada juga menuju jalan yang sukar terlebih dahulu. Alhamdulillah kalau kita diberi jalan yang mudah oleh Allah. Dan jangan pula sedih diberi jalan yang sulit. Allah amat menyayangi orang yang sabar. Dan selalulah ingat, dihujung kesulitan itu ada kemanisan yang telah ditetapkan Allah untuk kita.
Lelahku. Terlalu jauh aku bercerita pada anda. Melontar apa yang tersembunyi dibenakku. Terpulanglah bagaimana reaksi anda dan maaf kalau ada ayat-ayat yang mungkin membuat anda terasa. Itu adalah silapku kerana dengan senang membicarakan soal yang mungkin sulit. Dan sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang jelik itu datang dari kelemahanku. Wallahualam.
p/s: kalo nadia tersilap, maafkan nadia and tlg betulkan ya..

No comments: