Friday 4 June 2010

Perantau dan Penjahat

Pada suatu hari, khalifah Sulaiman bin Abdul Malik datang ke Madinah. Beliau ingin berjumpa dengan Abu Hazim, satu-satunya sahabat Rasulullah SAW yang masih hidup. Kepada Abu Hazim, khalifah menanyakan tentang bagaimana keadaan seseorang yang akan meninggal dunia. Abu Hazim menjawab:

"Keadaan orang yang akan meninggal dunia itu ada dua macam. Pertama, seperti perantau yang dipanggil balik ke kampung halamannya untuk menengok beberapa perkara daripada hasil jerih payahnya. Dia telah diberitahu semua yang dihantarkan ke kampung daripada perantauan itu adalah daripada hasil kerjanya selama merantau. Kita dapat bayangkan perantau yang berjaya tentu akan mempercepatkan kepulangannya.

Lebih-lebih lagi jika dia mengetahui bahawa dia akan disambut oleh masyarakatnya dengan riang gembira kerana dia berjaya. kedua, dia seperti penjahat yang lari daripada penjara kemudian dia akan ditangkap kembali. Dia akan diheret ke mahkamah, diseksa dan dilemparkan dengan kejam ke tempatnya semula. Dapat dibayangkan betapa takutnya orang itu."

Demi mendengar penjelasan Abu Hazim itu, khalifah menangis tersedu-sedu sambil berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku diwaktu kembali kepadaMu seperti penjahat yang melarikan diri kemudian tertangkap kembali. "

1 comment:

damha said...

kita hidup dalam dunia ini biarlah bermanfaat pada orang lain...